𝗦𝗘𝗥𝗜 𝗣𝗔𝗗𝗨𝗞𝗔 𝗕𝗔𝗚𝗜𝗡𝗗𝗔 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗗𝗜-𝗣𝗘𝗥𝗧𝗨𝗔𝗡 𝗔𝗚𝗢𝗡𝗚 𝗭𝗔𝗛𝗜𝗥𝗞𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗦𝗔 𝗦𝗨𝗞𝗔𝗖𝗜𝗧𝗔 𝗧𝗘𝗥𝗛𝗔𝗗𝗔𝗣 𝗔𝗡𝗚𝗞𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗧𝗘𝗡𝗧𝗘𝗥𝗔 𝗠𝗔𝗟𝗔𝗬𝗦𝗜𝗔 𝗦𝗘𝗠𝗔𝗦𝗔 𝗜𝗦𝗧𝗜𝗔𝗗𝗔𝗧 𝗣𝗘𝗥𝗕𝗔𝗥𝗜𝗦𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗡𝗝𝗨𝗡𝗝𝗨𝗡𝗚 𝗞𝗔𝗦𝗜𝗛 𝗦𝗘𝗥𝗜 𝗣𝗔𝗗𝗨𝗞𝗔 𝗕𝗔𝗚𝗜𝗡𝗗𝗔 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗗𝗜-𝗣𝗘𝗥𝗧𝗨𝗔𝗡 𝗔𝗚𝗢𝗡𝗚 𝗫𝗩𝗜





SUNGAI BESI, 8 Jan 24 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan Agong (YDP Agong) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah menzahirkan rasa sukacitanya terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah mempamerkan prestasi tinggi serta berjaya beroleh pelbagai kejayaan ketika Titah Diraja semasa Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI bertempat di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi. Turut berangkat sama adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Raja Permaisuri Agong (RP Agong) Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Istiadat ini merupakan satu istiadat penuh tradisi ketenteraan yang dilaksanakan oleh ATM sebagai penghargaan kepada KDYMM SPB YDP Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM dan KDYMM SPB RP Agong sempena tamat tempoh pemerintahan Baginda berdua sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong selama lima tahun bermula 2019 hingga 2024. Ianya juga merupakan satu tanda penghormatan serta ketulusan hati warga ATM merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada KDYMM SPB YDP Agong dan KDYMM SPB RP Agong. Kali terakhir Istiadat sebegini diadakan adalah pada tahun 2016 semasa Al-Marhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Istiadat ini turut memperlihatkan yang ATM, selaku entiti yang menjaga kedaulatan dan keamanan negara, sentiasa berpegang teguh kepada Rukun Negara yang kedua iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara serta ianya menjadi teladan kepada seluruh rakyat Malaysia yang majmuk. Dengan keizinan yang Maha Esa dan berkat naungan KDYMM SPB YDP Agong, ATM telah melakar banyak kemajuan dan kejayaan dalam pelbagai lapangan sepanjang tempoh pemerintahan KDYMM SPB YDP Agong. Hasilnya, ATM kini semakin disegani sebagai sebuah perisai negara yang kredibel, relevan dan dinamik.

Pelaksanaan Istiadat diadakan dalam tiga peringkat dengan Peringkat Pertama adalah Istiadat Keberangkatan Pergi SPB YDP Agong dari Istana Negara ke Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi. Istiadat ini melibatkan Kawalan Kehormatan Darjat yang didirikan di Istana Negara dengan diiringi oleh Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja. Kawalan Kerhormatan Darjat ini didirikan khusus untuk SPB YDP Agong sebelum menghadiri sesuatu Istiadat.

Peringkat kedua merupakan peringkat terpenting Istiadat bermula dengan Keberangkatan Tiba SPB YDP Agong di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi dan dipersembahkan Hormat Diraja kepada SPB YDP Agong. Serentak dengan itu, lagu Negaraku dimainkan oleh Gabungan Pancaragam ATM. Pada masa sama Tembakan Kehormatan Artileri sebanyak 21 das dilaksanakan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohammad Asri bin Che Wil.

Perbarisan tersebut turut menyaksikan terbang lintas hormat lima buah pesawat helikopter ATM iaitu sebuah helikopter A 109 Tentera Darat Malaysia (TDM), sebuah helikopter AW 139 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga buah helikopter EC-725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa bendera Jalur Gemilang, bendera ATM, bendera TDM, bendera TLDM dan bendera TUDM yang diketuai oleh Mejar Ahmad Farhan bin Ahmad TUDM dari No 10 Skuadron.

Kemudiannya, KDYMM SPB YDP Agong telah memeriksa perbarisan menggunakan Kenderaan Pemeriksa, sebelum menzahirkan Titah Diraja kepada seluruh warga ATM dan penonton lain yang hadir. Terdahulu, anggota perbarisan telah melaksanakan perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat jalan sebelum mara menghadap ke hadapan KDYMM SPB YDP Agong. Selesai Ketua Perbarisan melapor, satu persembahan khas yang julung kali diadakan berbanding Istiadat sama yang terdahulu dipersembahkan kepada KDYMM SPB YDP Agong. Persembahan Khas ini terdiri daripada 1 pegawai dan 306 Lain-Lain Pangkat yang melibatkan Gabungan Pancaragam Pusat ATM bersama-sama Drumline TDM dan Gabungan Brassband TD.

Persembahan Khas ini melibatkan empat fasa persembahan dengan fasa pertama adalah berkonsepkan pertunjukan Slow March dan pergerakan enam formasi bersama iringan muzik. Formasi yang dilaksanakan adalah Formasi Keris (lagu Ala Donde Si Donde), Formasi Love (lagu Battle Theme dan Pantun Budi). Formasi Bunga Raya (lagu Jalur Gemilang). Formasi War Defence (lagu Army of The War). Formasi Bulan Bintang (lagu Joget Pahang). Formasi Wau (lagu Kancing Suasa dan Dikir Puteri). Fasa kedua pula adalah deklamasi sajak oleh dua Lain-Lain Pangkat ATM dengan diiringi dua pemain violin dari Tentera Darat Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia serta seorang pemain Alto Saxophone dari Tentera Udara Diraja Malaysia. Pendeklamasi sajak adalah Sjn Siti Nur Aini binti Jasni (Kor Polis Tentera Diraja) dan Laskar Udara 1 Abdullah Bin Rosli (TUDM). Fasa ketiga pula melibatkan nyanyian lagu Setia dengan diiringi Gabungan Pancaragam ATM dan Backline dari ketiga-tiga perkhidmatan ATM (bass guitar, drum, keyboard dan gitar). Semasa fasa ini, penonton turut sama menyanyikannya secara beramai-ramai. Manakala, fasa keeempat merupakan fasa terakhir iaitu pergerakan keluar (March Out) oleh kumpulan persembahan sambil diringi muzik oleh Gabungan Pancaragam ATM dan Brassband TDM.

Peringkat ketiga bermula apabila KDYMM SPB YDP Agong dan KDYMM SPB RP Agong berangkat ke Wisma Perwira Tentera Darat bagi Majlis Santapan bersama warga ATM sebelum diarak keluar (Send Off) menggunakan kereta kuda dengan diiringi (Street Lining) seluruh warga ATM yang hadir sebagai simbolik salam perpisahan terakhir warga ATM atas tamatnya tempoh rasmi perkhidmatan Baginda berdua sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke-16 pada awal tahun ini.
Turut hadir dalam Istiadat ini adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Menteri Pertahanan; YB Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Timbalan Menteri Pertahanan; YB Adly bin Zahari, Panglima Angkatan Tentera; Jeneral Tan Sri Dato' Seri Mohammad bin Ab Rahman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan; Datuk Seri Isham bin Ishak, Panglima Tentera Darat; Jeneral Dato' Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Panglima Tentera Laut; Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob, Panglima Tentera Udara; Jeneral Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, Pegawai-Pegawai Kanan ATM, tetamu kenamaan dari kedutaan dan penasihat pertahanan luar negara.

Ketua Perbarisan bagi Istiadat Perbarisan pada kali ini diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Azamri bin Abdullah, Pegawai Memerintah Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanise). Terdapat dua kontinjen terdiri daripada 10 detasemen ATM menyertai perbarisan tersebut. Detasemen terdiri daripada enam detasemen TDM, dua detasemen TLDM dan dua detasemen TUDM berkekuatan seramai 40 Pegawai dan 888 Lain-Lain Pangkat. Senarai detasemen yang terlibat adalah seperti berikut :

1. Kontinjen Satu (Dengan Panji-Panji SPB YDP Agong).
a. Detasemen Pertama adalah elemen Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dketuai oleh Mejar Nurul Fauzan bin Md Sabri dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja. Pegawai Pembawa Panji-Panji adalah Leftenan Ahmad Fakhruzzakirin bin Abdul Rahman. Manakala, Sarjan Mejar Rejimen adalah Pegawai Waran 1 Kamarul Izwan bin Ramli.
b. Detasemen kedua adalah elemen Rejimen Renjer Diraja (RRD) diketuai oleh Mejar Muhammad Saiful Islam bin Ahmad Shahimi dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja. Pegawai Pembawa Panji-Panji adalah Leftenan Mohd Shahrin bin Mohd Yusoff. Manakala, Sarjan Mejar Rejimen adalah Pegawai Waran 1 Rudy bin Kussin.
c. Detasemen ketiga adalah elemen Kor Armor Diraja (KAD) diketuai oleh Mejar George Tan Hong Shen dari Rejimen Kedua Kor Armor Diraja. Pegawai Pembawa Panji-Panji adalah Leftenan Muda Ahmad Farhan bin Abd Ghapar. Manakala, Sarjan Mejar Rejimen adalah Pegawai Waran 1 Ahmad Khairun Nuar bin Yahaya.
d. Detasemen keempat adalah perkhidmatan TLDM diketuai oleh Leftenan Komander Mohd Suhaimi bin Marzuki TLDM. Pegawai Pembawa Panji-Panji adalah Leftenan Madya Mohamad Solihin bin Mohd Jasmy TLDM. Manakala, Sarjan Mejar Rejimen adalah Pegawai Waran 1 TMK Shahril bin Hashim.
e. Detasemen kelima adalah perkhidmatan TUDM diketuai oleh Mejar Muhammad Hanif bin Hamdi TUDM. Pegawai Pembawa Panji-Panji adalah Leftenan Muhammad Nur Iman bin Mohd Kifli TUDM. Manakala, Sarjan Mejar Rejimen adalah Pegawai Waran Udara 1 Iskandar Mirza bin Husin.
2. Kontinjen Dua (Tanpa Panji-Panji SPB YDP Agong).
a. Detasemen keenam adalah elemen Tempur Tentera Darat diketuai oleh Mejar Mohd Zulkifli bin Haji Subari dari Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanise).
b. Detasemen ketujuh adalah elemen Bantuan Tempur Tentera Darat diketuai oleh Mejar Fairulzismi bin Jaljiz dari Rejimen Pertama Artileri Diraja (Para).
c. Detasemen kelapan adalah elemen Bantuan Khidmat Tentera Darat diketuai oleh Mejar Muhamad Khairul Hakim bin Katnin dari Batalion Ke-72 Kor Perkhidmatan Diraja.
d. Detasemen kesembilan adalah perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia diketuai oleh Leftenan Komander Wan Mohd Adham Rafa’i bin Wan Mohamad Azam TLDM.
e. Detasemen kesepuluh adalah perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (Dua) diketuai oleh Mejar Wan Mohd Irwan bin Wan Ahmad Shukri TUDM.
Sempena Istiadat Perbarisan ini, sebanyak Panji-Panji KDYMM SPB YDP Agong diarak oleh kontinjen-kontinjen dari ketiga-tiga perkhidmatan ATM iaitu Panji-Panji RAMD, Panji-Panji RRD, Panji-Panji KAD, Panji-Panji TLDM dan Panji-Panji TUDM. Perbarisan turut melibatkan Pengawal Medan dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan yang bertindak mengawal keselamatan keseluruhan Padang Kawad sepanjang Istiadat Perbarisan ini berlangsung.

Keseluruhan perbarisan pada pagi ini diiringi oleh Gabungan Pancaragam ATM di bawah pimpinan Leftenan (DOM) Muhamad Fauzee bin Japar. Personaliti lain yang turut terlibat di dalam perbarisan berkenaan adalah Mejar Jeneral Dato’ Haji Mohammad Rashidi bin Bujai; Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera selaku Pembaca Doa, Mejar Mohd Khairy bin Hasimy dari Pusat Latihan Artileri selaku Penolong Ketua Perbarisan, Kapten Muhammad Syafiq bin Zainordin TUDM selaku Ajutan Perbarisan serta Sarjan Mejar Rejimen dari ketiga-tiga perkhidmatan iaitu Pegawai Waran 1 Mohd Khair bin Abdul Wahab dari TDM, Pegawai Waran 1 PAP (GI) Darmizi bin Darus dari TLDM dan Pegawai Waran Udara 1 Norazman bin Salleh dari TUDM.

Aset yang turut terlibat di dalam perbarisan berkenaan adalah Kereta Kebal PT-91M Pendekar, Kenderaan Pelancar Unit Lancar Berganda Roket ASTROS II, Meriam 155mm G5 MKIII, Kenderaan Perisai 8x8 GEMPITA dan Kenderaan Perisai 4x4 HMAV Lipan Bara dari TDM, Trailer Pembawa Exocet 40mm Missile dari TLDM dan Prime Mover Pembawa KH-29T Air to Surface Missile dari TUDM. Perbarisan turut melibatkan kehadiran lebih kurang 2000 penonton daripada kalangan warga ATM dan warga Kementerian Pertahanan.

Berita : Bahagian Hal Ehwal Awam, Markas Angkatan Tentera Malaysia.
Gambar : Bahagian Hal Ehwal Awam, Markas Angkatan Tentera Malaysia dan Pejabat Panglima Angkatan Tentera.

Post a Comment

0 Comments